UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Melalui Inovasi Dan Living Lab Pertanian | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Melalui Inovasi dan Living Lab Pertanian

UPM Perkukuh Keterjaminan Makanan Melalui Inovasi dan Living Lab Pertanian

Article Summary
Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan pendekatan living lab yang membolehkan teknologi, inovasi dan amalan pertanian moden dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti.


 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 22 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan pendekatan living lab yang membolehkan teknologi, inovasi dan amalan pertanian moden dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti.

 

 

Pengarah Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata pendekatan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan sektor pertanian, malah membantu komuniti meningkatkan produktiviti, pendapatan dan kesejahteraan hidup melalui penerapan teknologi pertanian yang lebih cekap dan lestari.

 

 

Beliau berkata, pertanian merupakan sektor strategik yang menjadi asas kepada keterjaminan makanan negara dan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama yang melibatkan institusi pendidikan, industri, kerajaan serta masyarakat.

 

 

“Pertanian sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan kita kerana setiap individu bergantung kepada makanan setiap hari. Apabila masyarakat memahami proses penghasilan makanan, mereka akan lebih menghargai sumber yang digunakan dan lebih peka terhadap isu keterjaminan makanan.

 

 

“Melalui pendekatan living lab, masyarakat dapat melihat sendiri bagaimana teknologi dan inovasi yang dibangunkan di universiti diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang boleh membantu meningkatkan pengeluaran makanan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

 

 

Menurut beliau, UPM sentiasa berusaha memastikan ilmu dan hasil penyelidikan yang dibangunkan di universiti dapat dimanfaatkan secara meluas oleh masyarakat menerusi pelbagai program pemindahan ilmu, latihan dan kerjasama strategik bersama komuniti.

 

 

Katanya, penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti juga menjadi keutamaan dalam memastikan pengguna mendapat akses kepada makanan yang sihat serta memenuhi piawaian keselamatan makanan.

 

 

“Di UPM, kami mengutamakan amalan pertanian yang baik dan lestari bagi menghasilkan makanan yang selamat serta berkualiti. Pada masa sama, kami berusaha mengurangkan penggunaan bahan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan pengguna dan alam sekitar.

 

 

“Usaha ini penting bagi memastikan sistem makanan negara kekal mampan serta mampu memenuhi keperluan masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

 

 

Beliau turut menegaskan bahawa persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian perlu diubah kerana bidang tersebut kini berkembang pesat dengan penggunaan teknologi moden, automasi, inovasi digital dan model keusahawanan yang lebih dinamik.

 

 

Menurutnya, sektor pertanian hari ini menawarkan pelbagai peluang kerjaya dan keusahawanan yang berpotensi menjana pendapatan tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

 

 

“Pertanian bukan lagi dilihat sebagai pekerjaan tradisional semata-mata. Ia melibatkan teknologi, inovasi dan pembangunan lestari yang membuka peluang besar kepada generasi muda untuk meneroka bidang ini sebagai kerjaya masa depan,” katanya.

 

 

Beliau berkata, penglibatan generasi muda amat penting dalam memastikan kesinambungan sektor agromakanan negara dan melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan yang mampu memacu transformasi industri pertanian negara.

 

 

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa inovasi yang dibangunkan oleh universiti berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti melalui peningkatan produktiviti, pendapatan dan kecekapan pengeluaran makanan.

 

 

“Impak universiti tidak seharusnya terhad kepada kampus semata-mata. Ilmu dan teknologi yang dibangunkan perlu sampai kepada masyarakat serta memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

 

 

“Apabila masyarakat memanfaatkan teknologi dan inovasi yang ada, kita bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pertanian, malah membina sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.

 

 

Beliau berharap lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan antara institusi pendidikan, industri dan komuniti bagi memperluas penggunaan teknologi pertanian moden serta memperkukuh pembangunan sektor pertanian negara.

 

 

“Dengan penglibatan semua pihak, kita bukan sahaja dapat memperkukuh keterjaminan makanan negara, malah membina masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Date of Input: 22/06/2026 | Updated: 22/06/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
X, (11:33:11pm-11:38:11pm, 22 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]