
SERDANG, 22 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Sekretariat ASEAN-JICA Food Value Chain (AJFVC) meneroka peluang kerjasama dalam membangunkan sektor pertanian yang lebih berdaya tahan, mampan serta berteraskan inovasi.
Perkara itu dibincangkan sempena kunjungan wakil JICA, Shingo Kikuchi dan wakil Sekretariat AJFVC, Desti Rahmaniar, ke Ladang Bersepadu Puchong, Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM. Delegasi berkenaan turut diiringi wakil Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Ketibaan delegasi disambut Pengarah PPP, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Haji Sakimin, sebelum mereka diberikan penerangan mengenai peranan pusat berkenaan dalam pengurusan pertanian, latihan, penyelidikan dan pembangunan inovasi, khususnya yang dilaksanakan di Ladang Bersepadu Puchong.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan, penyelidikan, pembangunan kapasiti dan kerjasama awam-swasta bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian serta memperkukuh sistem makanan serantau.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai cabaran semasa sektor pertanian, antaranya perubahan iklim, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pengeluaran, penggunaan teknologi dan kerugian selepas tuaian.
Pengukuhan rantaian nilai makanan yang merangkumi aspek pengeluaran, pemasaran dan pengedaran turut diberikan perhatian sebagai langkah meningkatkan produktiviti serta menyokong agenda keterjaminan makanan.
Perbincangan berkenaan turut mengetengahkan peranan universiti dalam melahirkan bakat pertanian masa hadapan melalui pendidikan, latihan praktikal, penyelidikan dan jalinan kerjasama dengan industri.
Kunjungan itu membuka ruang kepada peluasan kerjasama serantau menerusi kerangka ASEAN-JICA, khususnya dalam pembangunan penyelesaian pertanian yang lebih lestari dan bersesuaian dengan cabaran semasa.
Tarikh Input: 23/07/2026 | Kemaskini: 23/07/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA