
Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 29 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Dua Belas (Kolej 12) meneruskan komitmen memperkasa agenda keterjaminan makanan dan kesihatan planet negara menerusi penganjuran Bulan Sinergi PUTRA 2026 yang menghimpunkan pelbagai program berimpak tinggi selaras dengan hala tuju strategik True North UPM, baru-baru ini.
Pengetua Kolej Dua Belas, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata program yang dilaksanakan bukan sekadar menggalakkan amalan pertanian bandar dan pemakanan sihat, malah membentuk budaya menghargai sumber makanan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
“Bulan Sinergi PUTRA 2026 memberi ruang kepada Kolej 12 untuk menterjemahkan agenda keterjaminan makanan melalui program yang dekat dengan masyarakat. Penggunaan hasil Kebun Agriva Kolej 12 dalam setiap aktiviti membuktikan bahawa pengeluaran makanan secara lestari boleh dimanfaatkan terus oleh komuniti kampus serta menyemai nilai kesukarelawanan, inovasi dan keprihatinan sosial kepada pelajar,” katanya.
Program tersebut yang dilancarkan oleh Pejabat Naib Canselor UPM pada Jun lalu melibatkan seluruh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Serdang, Puchong dan UPM Sarawak (UPMS) melalui pelbagai aktiviti yang melibatkan komuniti dalam dan luar kampus berteraskan lima fokus utama, iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa Putra.
Tambah beliau, bagi menyahut aspirasi tersebut, Kolej Dua Belas telah melaksanakan beberapa inisiatif yang bukan sahaja memupuk budaya pertanian dalam kalangan warga kolej, malah meningkatkan kesedaran mengenai akses kepada makanan berkhasiat dan mampan.
“Antara program yang menjadi tumpuan ialah Air Balang Berkat yang diadakan pada setiap hari Jumaat yang telah menyediakan minuman percuma kepada warga kolej dan golongan memerlukan dengan setiap menu menggunakan hasil tanaman daripada Kebun Agriva Kolej 12,” katanya.
Pembantu Khidmat Am, Kolej 12, UPM, Ahmad Ikram Shah Baharin, berkata Program Sinergi Putra menerusi penyediaan Air Balang Berkat di hadapan Pejabat Kolej 12 merupakan satu inisiatif yang ringkas namun memberi impak besar kepada warga kolej. Lokasinya yang strategik memudahkan pelajar dan staf pengurusan menikmati minuman sambil berinteraksi dalam suasana santai.

“Program ini bukan sahaja memberikan kesegaran kepada warga kolej, malah menjadi medium untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan serta mewujudkan persekitaran kampus yang lebih mesra dan harmoni. Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan dijadikan amalan bagi memperkukuh hubungan dalam komuniti Kolej 12,” katanya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Biokimia dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Halimah Sabit, berkata beliau amat menghargai inisiatif Program Air Balang Berkat yang dianjurkan oleh pihak pengurusan Kolej 12 pada setiap hari Jumaat.
“Program ini bukan sahaja membantu meringankan perbelanjaan harian pelajar, malah mencerminkan keprihatinan pihak kolej terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga kolej. Usaha seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan dan pelajar, sekali gus mewujudkan suasana kampus yang lebih harmoni serta prihatin.
“Program ini juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan lestari. Dengan menggalakkan pelajar membawa bekas minuman sendiri, inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, malah menyokong usaha memelihara kelestarian alam sekitar,” katanya.
Selain itu, Kolej 12 turut menganjurkan Pertandingan Juara Masakan Rahmah: Menu RM10.00, program berimpak tinggi peringkat UPM yang mencabar peserta menghasilkan hidangan seimbang merangkumi karbohidrat, protein, sayuran dan minuman pada kos RM10.00 dengan syarat wajib menggunakan sekurang-kurangnya satu hasil tanaman daripada Kebun Agriva Kolej 12.
Pendekatan berasaskan pengalaman itu turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan keselamatan makanan, pemakanan seimbang dan penggunaan sumber secara lestari, selaras dengan agenda Kesihatan Planet yang menjadi antara keutamaan UPM.
Dalam pada itu, usaha tersebut diharap dapat menjadi model kepada kolej kediaman lain dalam memperkasa peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemangkin keterjaminan makanan negara serta pembangunan komuniti yang lebih mampan.
Tarikh Input: 29/07/2026 | Kemaskini: 29/07/2026 | zarithsofea

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA